(kiri) Othman bersama Dr Othsman (kanan). FOTO BERNAMA
(kiri) Othman bersama Dr Othsman (kanan). FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Isu mempersenda dan menghina agama tidak akan berlaku sekiranya akidah dan perpaduan masyarakat terbina kukuh.

Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha berpandangan, perpaduan yang kukuh akan menghindari daripada berlakunya perkara sedemikian.

"Sambutan Maal Hijrah yang kita sambut pada tahun ini bertema 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran' memberi erti keluarga itu mesti kukuh dari segi akidahnya dan perpaduan.

"Kalau tidak kukuh bermakna akan wujud ruang untuk mereka menghina dan mencerca Islam.

"Apa perlu dilakukan sekarang ini bukan tindakan menghukum semata-mata tapi tindakan lain iaitu mendidik mereka. Mungkin dakwah tidak sampai kepada mereka, itu kita kena lihat semula," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M dan Bacaan Yasin Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1444H/2022M.

Selain beliau, Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja, H E Okhna Datuk Dr Othsman Hassan turut diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Ditanya mengenai perancangan beliau untuk memartabatkan lagi Islam selepas ini, Othman berkata, anugerah itu memberinya semangat untuk lebih bergerak ke hadapan dan meneruskan forum agama sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Dr Othsman turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas pengiktirafan terbabit serta akan meneruskan kerjasama yang baik antara Malaysia dan Kemboja.

Beliau berkata, kemakmuran dan perpaduan kaum di Malaysia antara dikaguminya, malah rakyat di negara ini juga sentiasa menghulurkan bantuan kepada rakyat Islam di Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 10:52 PM