Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15. FOTO Bernama.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15. FOTO Bernama.
BERNAMA

Melaka: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka tidak pernah menggunakan proses kajian semula yang dilakukan pada setiap tahun untuk tujuan pemutihan atau penamatan bantuan kepada penerimanya.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata, tujuan kajian semula dilakukan bagi menilai semula keadaan semasa penerima bantuan atau keluarganya.

"Kajian semula ini membabitkan beberapa aspek seperti keadaan ekonomi, persekolahan, kesihatan, tempat tinggal, kemahiran ataupun latihan dan maklumat lain yang bersesuaian.

"JKM sentiasa membuat penilaian sama ada penerima masih layak atau tidak untuk bantuan mereka diteruskan dan ia dilaksanakan dalam tempoh empat hingga satu bulan sebelum tarikh tamat bantuan kepada penerima," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) yang mahu tahu kekerapan dan tujuan kajian semula dilakukan terhadap penerima bantuan JKM.

Kalsom berkata antara punca-punca penamatan bantuan termasuklah kematian penerima, penukaran skim bantuan, telah mampu berdikari, tidak layak mendapat bantuan dan berpindah ke luar daerah.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,249 orang menerima bantuan Cashless JKM di Melaka bermula Mac 2021 hingga Jun 2022 manakala daripada jumlah itu, seramai 47 penerima menerima bantuan itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Katanya, Cashless adalah satu program kebajikan sosial berasaskan platform ekonomi digital dalam mewujudkan masyarakat pintar khususnya kepada klien JKM.

Kalsom menjawab soalan dikemukakan Fairul Nizam yang mahu tahu jumlah terkini penerima bantuan Cashless bagi seluruh negeri Melaka dan DUN Asahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 1:49 PM