DATUK Kalsom Noordin menyampaikan bahan sempena Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah. FOTO NURALIAWATI SABRI.
DATUK Kalsom Noordin menyampaikan bahan sempena Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sejumlah 88 kes penderaan kanak-kanak direkodkan untuk tempoh lapan bulan tahun ini di Melaka.

Exco Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kesemua kes itu direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka sejak Januari hingga Ogos.

Menurutnya, angka yang diperoleh itu membimbangkan dan tindakan segera perlu sebagai langkah pencegahan bagi mengelak perkara lebih serius berlaku.

"Berdasarkan pecahan kes dilaporkan, 51 kes membabitkan penderaan fizikal dan 37 pula membabitkan penderaan seksual yang berlaku terhadap kanak-kanak.

"Meskipun begitu, tiada kes penderaan membabitkan emosi dilaporkan kepada JKM untuk tindakan susulan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Taliam Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka, yang turut dihadiri Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik, di Bachang.

Kalsom berkata selain kes kendalian JKM, kes di bawah tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membimbangkan apabila merekodkan peningkatan kes melebihi 50 peratus.

"Di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 sebanyak 44 kes dilaporkan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

"Untuk tempoh sama tahun lalu hanya 17 kes dan ini menunjukkan berlaku peningkatan melebihi 50 peratus kes yang membabitkan kanak-kanak," katanya.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, pelaku kepada kes ini yang dilaporkan bukan sahaja ibu bapa malah turut membabitkan saudara-mara serta di pihak pusat jagaan.

"Antara faktor yang dikenal pasti menjadi penyumbang disebabkan gagal mengawal kemarahan dan tekanan emosi sehingga kanak-kanak ini menjadi mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 4:42 PM