Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kerajaan mengingatkan orang luar dan pihak tertentu supaya tidak campur tangan berhubung penghantaran pelarian Myanmar ke negara mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, semua pihak kena faham setiap tindakan yang diambil kerajaan bukannya mengikut gesaan pihak tertentu.

"Kalau kita tangkap sesiapa yang melakukan kesalahan dalam negara ini, bermakna dia melanggar undang-undang. Kita tengok siapa mereka, bukan hanya Myanmar, bukan hanya datang daripada sesuatu negara, sebaliknya seluruh dunia.

"Ada kesalahan yang sudah sampai tempohnya untuk kita hantar dia balik, kita akan hantar. Jadi UNHCR ke, United Nation ke, mana-mana sekalipun, kalau orang yang kita tangkap itu adalah mereka yang masuk dengan cara sah dan mempunyai dokumen, kemudian melanggar undang-undang serta sudah dihukum, akhirnya kita hantar mereka balik.

"Orang luar jangan masuk campur melainkan mereka yang dimasukkan dalam pelarian politik. Kita tidak akan menghantar mereka yang akan menyebabkan dia 'hilang' di negara sendiri," katanya ketika menghadiri Program Kita Demi Negara di sini, hari ini.

HAMZAH (kiri) ketika hadir Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan PRU-15 di Maktab Teknik PDRM, Bakri hari ini. FOTO Essa Abu Yamin.
HAMZAH (kiri) ketika hadir Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan PRU-15 di Maktab Teknik PDRM, Bakri hari ini. FOTO Essa Abu Yamin.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengulas gesaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) terhadap kerajaan supaya menghentikan penghantaran pulang pelarian dan pencari suaka ke Myanmar.

Mengulas lanjut mengenai gesaan itu, Hamzah berkata, ada badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang bersahabat baik dengan UNCHR kerana mempunyai kepentingan yang beliau tidak akan dedahkan.

"Kita akan teliti sebelum membuat keputusan apakah UNCHR patut ada di sini atau tidak. Sebagai sebuah negara yang bermaruah, saya fikir kita patut jaga negara kita dulu, sebelum menjaga orang luar," katanya.

Terdahulu, UNHCR menggesa kerajaan supaya menghentikan penghantaran pulang pelarian dan pencari suaka ke Myanmar.

Menurut UNHCR, sejak April 2022 lebih 2,000 warga Myanmar dihantar pulang termasuk tentera yang berpaling tadah tanpa meneliti tuntutan suaka dan keperluan perlindungan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 3:24 PM