Melvin Joni


Miri: Seorang pemancing yang hanyut di laut selepas kayak dinaiki terbalik akibat dilanda ombak kuat ketika memancing diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pantai Lutong, di sini, hari ini.

Terdahulu, mangsa berusia 30 tahun bersama tujuh rakannya keluar memancing menggunakan kayak kira-kira 6 pagi, namun kayak dinaiki lelaki itu terbalik akibat cuaca buruk dan hilang dibawa arus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 9.39 pagi lalu menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng diarahkan menjalankan operasi SAR ke Pantai Lutong, manakala BBP Miri Sentral ke Marina Bay dengan bantuan APMM.

"APMM kemudian berjaya menjumpai mangsa yang hanyut pada 11.46 pagi tanpa sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, pihaknya difahamkan kesemua tujuh pemancing lain selamat naik ke pantai kira-kira 11 pagi tadi dan tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 2:37 PM