Lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh di Sungai Dinding ditemui anggota bomba. FOTO IHSAN BOMBA.
Lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh di Sungai Dinding ditemui anggota bomba. FOTO IHSAN BOMBA.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Sitiawan: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh di Sungai Dinding, di sini, apabila bot dinaikinya berlanggar dengan sebuah bot lain, kelmarin, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat V Subramaniam, 50, ditemui pasukan penyelamat pada 8.50 pagi hasil maklumat nelayan berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis Mohd Akmal Hussin berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di tebing Sungai Dinding di bawah Jambatan Raja Permaisuri Bainun.

"Mayat ditemui kira-kira satu batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh ketika insiden perlanggaran bot dinaikinya dengan sebuah bot lain berhampiran jeti sebuah kilang, kelmarin.

"Kami kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, operasi turut dibantu anggota BBP Seri Manjung, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pulau Pangkor, polis, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Media semalam melaporkan bot dinaiki mangsa bersama isteri dan anak lelakinya bertembung dengan sebuah bot lain yang dinaiki lima pemancing dalam kejadian pada 8 malam kelmarin.

Ketika kejadian, bot dinaiki lima lelaki itu terbalik dan mereka terjatuh ke dalam sungai, manakala bot mangsa pula tidak terbalik tetapi hanya mangsa yang terjatuh.

Lima pemancing itu diselamatkan nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 12:27 PM