Mayat nelayan warga emas ditemui terapung di perairan Miri. IHSAN MARITIM MALAYSIA
Mayat nelayan warga emas ditemui terapung di perairan Miri. IHSAN MARITIM MALAYSIA
Mohd Roji Kawi


NELAYAN warga emas yang hilang di laut sejak tengah malam Rabu lalu ditemui lemas, 9.45 pagi hari ini.

Mayat Kadri Tra, 71, ditemui kira-kira lapan batu nautika dari pantai Lutong, Miri, oleh pekerja kapal kargo tidak jauh dari pelantar minyak Petronas, West Lutong.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri, Komander Salahuddin Zakaria berkata, pekerja kapal terbabit kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.

“Mangsa yang keluar menangkap ikan sendirian perairan Kuala Bakam, dilaporkan hilang 5.09 pagi, 4 Mac dan botnya ditemui kira-kira satu batu nautika dari pantai Kuala Bakam.

“Ini kejadian kedua membabitkan nelayan ke laut seorang diri yang berakhir dengan tragedi,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya nelayan menggunakan jaket keselamatan, terutamanya apabila keadaan laut sukar dijangka.

“Dalam kes ini, jaket keselamatan dipercayai milik mangsa ditemui dalam botnya,” katanya.

Mayat mangsa yang tiba di jeti Marina Bay 11.15 pagi kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 5:15 PM