GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengumpul 43 sampel sayuran tanah tinggi di Kundasang, Ranau disyaki mengandungi racun berlebihan.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, sampel itu dikumpul pada operasi besar-besaran Ops Caras Hijau dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran dan Pejabat Kesihatan Ranau membabitkan 30 anggota, 5 Julai lalu.

Menerusi kenyataannya semalam, beliau berkata, sampel sayuran yang diambil termasuk cili merah, lada benggala, tomato, daun salad dan daun sup yang dijual di 16 premis pemborong dan 19 premis peruncitan sayuran di Kundasang.

Beliau berkata, sayuran terbabit menjadi keutamaan dalam persampelan berkenaan kerana sering dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi nilai dibenarkan.

"Kesemua sampel sudah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNS untuk dianalisis.

"Objektif operasi ini adalah untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada semua pihak dalam rantaian penjualan hasil pertanian agar tidak menggunakan racun perosak yang tidak dibenarkan atau melebihi nilai maximum residue limit (MRLS) yang dibenarkan di bawah keperluan perundangan sedia ada," katanya.

Operasi itu membabitkan penguatkuasaan dan pematuhan perundangan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Ia akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha hasil pertanian mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan demi keselamatan dan kesihatan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 11:20 AM