FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Mamat


Melaka: Sebanyak 142 kes keracunan makanan dicatatkan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini membabitkan murid di tiga sekolah rendah dan sebuah kolej swasta di Melaka.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, jumlah itu menurun berbanding 287 kes keracunan makanan berlaku dalam tempoh sama, tahun lalu.

Beliau berkata, penurunan kes itu berkemungkinan disebabkan penularan Covid-19 sejak Mac lalu apabila orang ramai lebih banyak berada di rumah, selain kekerapan pengawasan dan pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

"Sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, 2,125 premis diperiksa dengan 32 daripadanya diarah tutup kerana melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pihak berkuasa kesihatan mengambil 286 sampel makanan serta bahan mentah dan hasilnya, sejumlah tiga atau 1.0 peratus sampel sayur membabitkan daun sup dan daun bawang dikesan tidak mematuhi akta berkenaan kerana paras residu racun perosak dengan nilai denda RM8,000," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat negeri di Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 2:42 PM