KEMENTERIAN Kesihatan kesan cili yang dijual di pasaran mempunyai kadar tinggi racun perosak.
KEMENTERIAN Kesihatan kesan cili yang dijual di pasaran mempunyai kadar tinggi racun perosak.
Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengesahkan ada cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan.

“Hasil pemantauan kementerian daripada Januari lalu hingga kini, 503 sampel cili termasuk cili dari Vietnam dianalisis.

“Kami dapati 21 sampel cili atau 4.2 peratus daripadanya tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak. Tindakan penguatkuasaan sudah dijalankan.

“Kementerian Kesihatan meneruskan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya pada kenyataan, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mengatakan cili merah import dari Vietnam masih ada di pasaran tempatan walaupun kerajaan menggantung permit import hasil pertanian itu sejak 14 September lalu.

Katanya, semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terbabit seperti pengimport, ejen dan penjual memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

“Kegagalan mematuhi peraturan itu adalah satu kesalahan, sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya.

Maklumat lanjut berhubung isu keselamatan makanan boleh diperoleh dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri.

Pengguna boleh melayari http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:26 AM