Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Kami melalui kawasan kemalangan, tetapi tidak sangka yang kemalangan itu adalah mak su," kata anak saudara kepada mangsa Siti Petimah, Zuraiti Ismail, 43.

Menurutnya, dia kali terakhir berhubung dengan ibu saudaranya itu kira-kira 12 tengah hari sebelum mahu bergerak pulang dari Pulau Pinang ke rumah mereka di Bangi.

"Selalunya kalau nak balik mak su akan cakap berhati-hati bawa kereta, tapi kali ini dia langsung tidak beri pesanan.

"Kami memberitahu selepas Zuhur kami sekeluarga bergerak, tetapi melepasi sedikit dari Bukit Gantang saya cuba menghubungi mereka semua tetapi semua telefon tidak diangkat" katanya.

Zuraiti berkata, ibu saudara bersama suami dan dua anak perempuan mereka dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.

"Mereka dalam perjalanan dari rumah mereka di Sungai Petani untuk menghantar salah seorang daripada anak perempuan berdaftar kerja di Kuala Lumpur," katanya.

JENAZAH empat mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 277 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dibawa keluar dari Jabatan Forensik HRPB Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Permatang Pauh. FOTO L.Manimaran
JENAZAH empat mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 277 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dibawa keluar dari Jabatan Forensik HRPB Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Permatang Pauh. FOTO L.Manimaran

Katanya, dalam perjalanan, dia ada mendengar berita melalui radio memaklumkan ada kemalangan, namun tidak menyangka ibu saudara sendiri terbabit dalam kemalangan.

"Kami ada melalui jalan kemalangan berkenaan tetapi ketika itu keadaan jalan sudah lengang, tidak terdetik dan tak sangka mak su yang kemalangan.

"Kami mendapat berita agak lewat, kira-kira 5 petang kami mendapat berita daripada mak cik di Melaka mengatakan mak su kemalangan dan semua sudah meninggal dunia,"katanya.

Katanya, kali terakhir berjumpa di rumah ketika sambutan perayaan Aidiladha dan ibu saudara tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, empat maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan.

Empat mangsa iaitu seorang lelaki dan tiga wanita disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 8:07 AM