Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut empat beranak di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas empat pertuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh, Suhaimi Mohd Nor, 34, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak.

Mengikut pertuduhan, Suhaimi didakwa sebagai pemandu lori memandu kenderaan itu di jalan awam dengan cara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian terhadap Rahim Ramli, 60; isterinya, Siti Petimah Omar, 59, dan dua anaknya Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada kira 2.55 petang, 13 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

PEMANDU treler yang terbabit dalam kemalangan maut empat beranak di KM277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini mengaku tidak bersalah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
PEMANDU treler yang terbabit dalam kemalangan maut empat beranak di KM277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini mengaku tidak bersalah. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Sabit kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N M Moganaraj, manakala tertuduh diwakili Amir Khusairi Mohd Tanusi.

Pihak pendakwaan kemudiannya mohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi semua pertuduhan, bagaimanapun Amir Khusairi memohon jumlah itu dikurangkan berikutan tertuduh perlu menanggung isteri serta lima anak.

Noor Hafiza kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga dan semua lesen memandunya ditarik sementara menunggu kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 4 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 1:42 PM