Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) kesal dengan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San yang memutuskan kerusi DUN Selat Klang tidak perlu dikosongkan.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan keputusan itu seperti yang dijangkakan malah bersifat kepartian bukan bersandarkan kepada perlembagaan dan undang-undang.

"Saya dan Adun Perikatan Nasional Selangor amat kecewa dan kesal dengan keputusan yang dibuat oleh Speaker yang tidak merujuk kepada perlembagaan dan undang-undang.

"Kami tidak dibenarkan sebarang pertanyaan ataupun perbahasan, ini satu sikap yang tidak profesional. Beliau (Speaker) tangguhkan Sidang DUN Selangor hari ini dan keputusannya dibuat di hujung sesi. Bila hendak tangguh, baru buat keputusan.

"Ini bukan sikap beretika sebagai seorang Speaker. Sepatutnya jika Speaker berani membuat keputusan, beliau juga harus berani mendengar dan mempertahankan keputusan berkenaan," katanya dalam sidang media selepas penangguhan sidang DUN Selangor di lobi Wisma DUN Selangor, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya akan teliti keputusan Speaker dan pastinya akan mengambil langkah seterusnya kerana ini krisis perlembagaan yang tidak boleh dibiarkan berlarutan.

"Kita akan merujuk kepada peguam yang sudah bersedia untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Terdahulu, sebelum menangguhkan sidang DUN Selangor, Lau mengumumkan tiada kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Selat Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 9:14 PM