Francois Letexier bakal mengadili perlawanan akhir Euro 2024.
Francois Letexier bakal mengadili perlawanan akhir Euro 2024.
Reuters

Berlin: Pengadil berasal dari Perancis iaitu Francois Letexier akan menjadi individu yang mengadili perlawanan final Euro 2024 membabitkan Sepanyol dan England seperti yang diumumkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Pengadil berusia 35 tahun itu bukanlah 'biasa-biasa' apabila berpengalaman mengadili 65 perlawanan UEFA sejak 2017 termasuk aksi peringkat kumpulan Euro 2024 membabitkan Sepanyol-Georgia, Denmark-Serbia dan Croatia-Albania.

Dia turut menjadi pegawai perlawanan keempat di final Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund.

"Letexier akan dibantu oleh penolong dari Perancis, Cyril Mugnier dan Mehdi Rahmouni, manakala Szymon Marciniak (Poland) akan menjadi pegawai keempat.

"Tugas pengadil bantuan video (VAR) diberikan kepada Jerome Brisard (Perancis) manakala pembantunya adalah Willy Delajod (Perancis) dan Massimiliano Irrati (Itali).

" Selain itu, Tomasz Listkiewicz (Poland) melengkapkan senarai pegawai perlawanan sebagai penolong pengadil simpanan," kata badan induk bola sepak Eropah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 8:55 PM