Yuna
Yuna
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Perancangan penyanyi juga komposer terkenal, Yuna, 38, berada di tanah air dalam tempoh yang lama menjadi kenyataan apabila kepulangannya kali ini dijangka sehingga Oktober depan.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai berkata, tujuan utama dia balik ke ibu negara sebenarnya lebih kepada untuk meluangkan lebih masa dengan keluarganya, terbabit aktiviti amal  dan juga komuniti seni di sini. 

"Saya dan suami memang dah lama sebenarnya merancang bersama untuk balik ke Malaysia dan duduk di sini dalam tempoh yang lama dan Alhamdulillah keputusan dicapai dengan baik. 

'Ketika di Kuala Lumpur (KL) ini, saya juga ambil langkah perlahankan 'base' saya sebab nak rasa kualiti kehidupan di Kuala Lumpur yang jauh lebih baik, meluangkan masa bersama keluarga, selain kepulangan ini untuk beri sumbangan pada komuniti seni di Malaysia.

"Saya pun sudah tua dan sudah penat nak jalan-jalan. Saya kini mahu duduk Malaysia dan bersarapan pagi menikmati nasi lemak di sini setiap hari," katanya ditemui pada sidang media program realiti Gimme The Mic, di sini, petang tadi.

Selain Yuna yang bertindak sebagai juri program itu untuk menilai bakat seramai 30 peserta bertanding yang dikenalpasti dari platform TikTok, dua lagi juri lain ialah penyanyi serta komposer, Ajai dan Hael Husaini.

Megulas juga tanggungjawabnya sebagai juri, Yuna mengakui dia teruja untuk berada dalam program ini kerana mengetengahkan ramai bakat baharu seperti dirinya dulu yang mencari ruang di platform media sosial. 

"Sebenarnya saya tak ambil masa lama untuk buat keputusan menyertai program ini sebagai juri. Saya tak fikir panjang pun sebab mungkin saya tahu nak balik ke KL untuk tempoh lama.

"Sebelum ini, saya memang ada terima banyak tawaran untuk menjadi juri, tapi saya tak terima kerana memikirkan tidak berkesempatan untuk melakukan perkara-perkara menyeronokkan di sini sebab saya berada di Los Angeles," katanya.

Ujar Yuna, apabila dia sedia menggalas tugas sebagai juri program TV adalah wajar untuknya berada di tanah air sekurang-kurangnya lebih daripada dua bulan untuk memastikan dapat memberi komitmen yang terbaik. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 8:22 PM