JENAZAH empat beranak yang maut dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Ipoh, Perak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Pasir, Permatang Pauh, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
JENAZAH empat beranak yang maut dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Ipoh, Perak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Pasir, Permatang Pauh, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: "Sedih, sebab sekali pi (pergi) bukan satu, bukan dua, bukan tiga tetapi empat terus hingga saya hilang kata-kata," rintih Muhamad Hazman Rahim.

Muhamad Hazman, 20, adalah anak bongsu kepada pasangan Rahim Ramli, 60 dan Siti Petimah Omar, 59 yang terkorban dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ipoh, Perak, petang semalam.

Turut meninggal dunia, dua kakaknya, Nor Hadirah Rahim, 28, dan Nor Hamizah Rahim, 27 selepas kesemua mereka yang menaiki Proton Persona parah dalam nahas berkenaan.

Muhamad Hazman berkata, dia yang menjalani latihan industri di sebuah syarikat di Perlis dihubungi seorang lagi kakaknya, Nor Fatini, 22, yang memaklumkan kejadian yang menimpa ahli keluarga mereka.

"Pada ketika itu, saya tengah buat kerja yang kemudian kakak (Nor Fatini) sambil menangis memberitahu bahawa mak dan ayah serta dua lagi kakak kami sudah tidak ada (meninggal dunia).

"Baru semalam sahaja saya salam, cium tangan mak, ayah sebelum balik ke Perlis dan maklumkan saya akan balik berjumpa mereka lagi yang kedua-duanya dilihat senyum sahaja, tetapi hari ini mereka dah tiada sampai saya tak tahu nak cakap macam mana.

"Mak ayah serta dua kakak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana semua rutin yang kami jalani seperti biasa sahaja hingga saya tidak jangka mereka pergi dalam keadaan amat mengejut," katanya selepas upacara pengebumian ibu bapa serta dua kakaknya, di sini, awal pagi ini.

Terdahulu, semua jenazah yang dibawa menaiki van berlepas dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira jam 11.30 malam tadi dan tiba di masjid berkenaan dua jam selepas itu.

Suasana pilu menyelubungi lokasi pengebumian empat beranak berkenaan sebaik jenazah tiba untuk dikebumikan.

Keempat-keempat jenazah selamat dikebumikan kira-kira 3 pagi tadi.

Dalam pada itu, Muhamad Hazman berkata, ibu bapanya dalam perjalanan menghantar kakak sulungnya, Nor Hadirah ke Kuala Lumpur untuk melapor diri di tempat kerja selepas sekian lama bercuti.

"Ia memang menjadi kebiasaan ayah hantar kakak ke sana (ibu negara). Sebelum ini kakak pernah kerja di sana sebelum syarikatnya ditutup dan dia pulang bercuti.

"Apabila syarikatnya dibuka semula, ayah dan mak ditemani seorang lagi kakak (Nor Hamizah) mahu menghantar semula kakak saya, Nor Hadirah tetapi siapa sangka berlaku kejadian seperti ini.

"Semasa cuti baru-baru ini, saya sempat bawa dua kakak saya pergi jalan-jalan, ziarah sanak saudara dan beraya yang ia menjadi aktiviti biasa yang kami sekeluarga lakukan ," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, empat sekeluarga yang menaiki Proton Persona maut akibat tersepit selepas terbabit nahas membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler.

Ketika kejadian kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 8:14 AM