GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Lelaki yang mempunyai 23 rekod lampau kes jenayah dan dadah ditahan polis selepas dikejar kira-kira 10 kilometer (km) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, turut ditahan seorang lagi lelaki yang turut mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, dua suspek yang menaiki sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dikesan ketika anggota polis sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan Jalan Tebrau di sini.

"Ketika ditahan untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut kereta untuk melarikan diri sebelum dikejar kira-kira 10 km dan kereta suspek terbabas di Jalan Anggerik 19, Taman Johor Jaya di sini.

"Kita kemudian menangkap dua lelaki tempatan berusia 28 dan 36 tahun itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah dan 13 rekod kesalahan dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai dua rekod kesalahan jenayah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek pertama didapati positif methamphetamine.

"Kedua-dua suspek ditahan reman dua hari sehingga esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menggalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 9:13 PM