Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis menunggu permohonan rasmi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membantu 'menggempur' aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi khususnya minyak masak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, arahan sudah dikeluarkan di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) serta semua 28 Ketua Polis Daerah supaya bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Menurutnya, ia termasuk menggerakkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk memastikan kawalan sempadan yang lebih ketat.

"Kita sedia maklum arahan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berhubung langkah tegas untuk menangani penyelewengan barang bersubsidi itu.

"Namun sekarang kami belum menerima permohonan daripada KPDNHEP mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penyerahan Daging Korban di IPK Sarawak, hari ini.

Seramai 62 asnaf menerima daging korban itu yang disumbangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.

Mohd Azman berkata, sebaik permohonan rasmi diterima nanti, pihaknya akan menggerakkan anggota bagi melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara besar-besaran.

Baru-baru ini, Ismail Sabri, mengarahkan penguat kuasa untuk menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan minyak masak paket bersubsidi.

Beliau menegaskan, operasi akan dilaksana KPDNHEP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia bertujuan memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

Selain PDRM, kawalan sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak yang sepanjang 1,100 kilometer bagi mengekang penyeludupan barangan bersubsidi akan turut dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 3:31 PM
Mohd Azman menyempurnakan Program Ibadah Korban Peringkat IPK Sarawak Tahun 2022 dan Majlis Penyerahan Daging Korban di Padang Kawad Berbumbung IPK Sarawak dan mengadakan sesi sidang media. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Azman menyempurnakan Program Ibadah Korban Peringkat IPK Sarawak Tahun 2022 dan Majlis Penyerahan Daging Korban di Padang Kawad Berbumbung IPK Sarawak dan mengadakan sesi sidang media. FOTO NADIM BOKHARI