BPKG melakukan pemeriksaan minyak masak di premis pembungkus dan pembekal bahan kawalan itu.
BPKG melakukan pemeriksaan minyak masak di premis pembungkus dan pembekal bahan kawalan itu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hasbi Sidek


KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Menguatkuasakan dan Mengawal Selia Bekalan Gula, Minyak Masak dan Tepung Gandum (GMT) dibangunkan sebagai langkah terkini memastikan masalah penyeludupan serta ketirisan subsidi dapat diatasi.

Ia adalah antara usaha dan tindakan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan (BPKG) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selain membangunkan Pelan Tindakan Membanteras Barang Kawalan Bersubsidi di Sempadan.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya sentiasa komited dan berusaha membanteras isu penyeludupan barang bersubsidi secara konsisten melalui pelbagai pendekatan proaktif.

Menurutnya, pihaknya membangunkan pelan khas bagi menangani isu ketirisan barang kawalan termasuk minyak masak bersubsidi secara konsisten.

“Melalui pelan ini, BPKG bakal menguat kuasakan kawalan lebih intensif terhadap barang kawalan bersubsidi.

“Selain itu, BPGK dan Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (BPDN) akan terbabit dalam mesyuarat berhubung pergerakan minyak masak di antara negeri yang diluluskan di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS).

“Ia bertujuan membincangkan strategi sesuai bagi mengekang bekalan minyak masak subsidi menembusi sempadan negara.

“Malah, kerjasama antara agensi penguat kuasaan sempadan diperkukuhkan dengan mengadakan operasi bersama seperti sekatan jalan raya dan lain-lain khusus untuk membanteras aktiviti penyeludupan daripada terus berleluasa,” katanya kepada Harian Metro, di sini.

Katanya, langkah lain diambil adalah memberi taklimat Penguatkuasaan dan Ketirisan Barang Kawalan Bersubsidi oleh Seksyen Bekalan KPDNHEP pada Kursus Pemantapan Undang-Undang KPDNHEP pada 23 April lalu.

“Ia dianjurkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan membabitkan peserta dari pelbagai agensi penguat kuasaan sempadan. Objektif taklimat itu diadakan bagi memberi kefahaman dan pendedahan kepada semua peserta kursus berhubung akta dikuat kuasakan KPDNHEP.

“Taklimat berkaitan pelesenan dan perundangan bersama persatuan Kilang Penapis Minyak Masak (PORAM) juga diadakan pada 26 April lalu dianjurkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Iskandar berkata, pihaknya juga menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian bagi tahun ini iaitu pematuhan undang-undang oleh syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di seluruh negara.

“Kami membangunkan Pelan Tindakan Membanteras Barang Kawalan Bersubsidi di Sempadan membabitkan empat negeri iaitu Perak, Kedah, Kelantan dan Perlis.

“Melalui pelan ini, BPKG akan memperkukuhkan kawalan dan penguat kuasaan agar ketirisan dapat dielakkan,” katanya.

Harian Metro sejak Rabu lalu mendedahkan kegiatan penyeludupan paket minyak masak subsidi sekilogram membabitkan hampir semua bandar utama di selatan Thailand antaranya Dannok, Betong, Yala, Haiyat, Sadao dan pendalaman negara itu.

Tinjauan wartawan mendapati minyak masak subsidi itu yang dijual pada harga RM2.50 di Malaysia, sebaliknya dijual pada harga 30 Bath (RM3.90) di Thailand.

Susulan pendedahan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kerajaan kerugian puluhan juta ringgit setahun melalui kos subsidi ditampung kesan penyelewengan dan penyeludupan minyak masak paket sekilogram ke negara jiran.

Menurutnya, subsdi minyak masak diuruskan kerajaan berjumlah RM700 juta iaitu 60 sen bagi paket minyak masak sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:30 AM