TANGKAP layar rakaman video tular di media sosial
TANGKAP layar rakaman video tular di media sosial
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang menghina kesucian agama Islam dan menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap wanita yang didakwa menghina Islam dalam video yang tular baru-baru ini.

"Saya mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seumpama ini.

"Saya menyeru pihak berwajib supaya mengambil tindakan tegas menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada supaya ia tidak terus menjadi amalan dan budaya di negara tercinta ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk rakaman video seorang wanita tular mengaku sebagai Muslim berasal dari Kuala Kangsar dan mendakwa sudah menghafal 15 juzuk ayat suci al-Quran sebelum menanggalkan baju kurung dan tudungnya hingga mendedahkan auratnya.

Mengulas lanjut, katanya, perbuatan wanita itu menghina Islam dan mencabar sensitiviti, keharmonian masyarakat berbilang amalan, agama dan kepercayaan negara ini.

"Kita harus menghantar mesej jelas, walaupun kita menjunjung hak dan kebebasan bersuara, kita tidak akan berkompromi dengan apa-apa jua bentuk perlakuan yang menghina kesucian Islam dan menyentuh sensitiviti masyarakat seluruhnya," katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan memperkenalkan dirinya sebagai Siti Amira Abdullah dalam satu acara di sebuah kelab di TTDI, di sini.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya Melayu dan Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 9:14 PM