LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat penularan video menunjukkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, di sini.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni.

"Selain itu, kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai diminta untuk tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat.

"Polis akan mengambil tindakan tegas sebagaimana diperuntukkan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba bertindak dalam apa jua cara sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab malam di TTDI, di sini.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang menyiasat video tular seorang wanita dipercayai menghina kesucian Islam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 7:47 PM