Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad ketika sidang media pada Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad ketika sidang media pada Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan individu yang menghina Islam dan menggugat keharmonian di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, perbuatan melampau seperti itu tidak harus dijadikan agenda normalisasi di negara ini.

"Saya ingin memberikan penegasan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali-kali tidak akan berkompromi dengan apa-apa kejadian yang menghina kesucian agama Islam, menghina al-Quran dan Rasulullah SAW dan seumpamanya.

"Jika ia berlaku di Wilayah Persekutuan, saya minta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengambil langkah tegas membuka kertas siasatan untuk tujuan dibawa ke Mahkamah Syariah.

"Kalau ia berlaku di negeri kita ketahui, maka pihak berkuasa agama negeri akan ambil tindakan atau pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan ambil tindakan kalau tular dalam media sosial dan tidak diketahui lokasinya," katanya selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Mengambil contoh kes wanita yang tular di media sosial selepas dikatakan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, beliau berkata, perbuatan itu tidak harus dibiarkan berleluasa.

"Seperti dilaporkan media, kandungan lawak komedi yang dipersembahkan juga menyentuh perkara sensitif yang mengganggu-gugat keharmonian kemajmukan agama dan bangsa.

"Isu pentas komedi ini juga kita lihat umat Islam khususnya berdiri teguh di belakang agensi kerajaan dan kita dapat melihat kehendak masyarakat yang mahu tindakan tegas diambil kepada pihak berkaitan.

"Kita tidak boleh sekali-kali membiarkan perkara ini dijadikan agenda normalisasi oleh sesetengah pihak," katanya.

Sebelum ini, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang mengaku Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran didakwa membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan komedi di kelab berkenaan, bulan lalu.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi itu.

Teman lelakinya, V Alexander Navin, 38, juga didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di Instagram dan Youtube milik mereka.

Selain itu, seorang lelaki ditahan polis kelmarin atas dakwaan menghina Islam menerusi rakaman video di media sosial dan dia direman empat hari sehingga Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 3:51 PM