Shahrol Shiro
Shahrol Shiro

Kuala Lumpur: Susulan video tular seorang wanita yang didakwa menghina Islam, ramai selebriti tampil meluahkan rasa kekecewaan terhadap tindakan wanita itu.

Mereka menganggap perbuatan wanita terbabit menghina Islam adalah sesuatu yang melampaui batas dan terkutuk. 

Pelawak Shahrol Shiro menerusi hantaran di Instagram miliknya berkata, wanita berkenaan jelas menghina agama Islam dan menggesa tindakan tegas harus dilakukan.

"Nak buat komedi pun ada garisan batasnya. Lepasi garisan tersebut adalah menghina dan kamu telah menghina dengan menggunakan content agama Islam. Ini betul-betul sudah melampau," katanya.

Dalam pada itu,  penerbit dan pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin menganggap wanita itu sebenarnya menghina dirinya sendiri.

"Kalau tanya saya dia bukan hina Islam, tapi dia hina diri dia sendiri. Islam tak terjejas pun tapi intergriti diri sendiri yang tercalar sehingga sanggup membodoh dan menghina diri sendiri hanya semata- mata nak tunjuk dirinya liberal dan konon-konon terbuka.Sampah," tulisnya.

Sementara itu, pengacara Fedtri Yahya pula menyifatkan wanita itu tergamak berfikir 'luar kotak' pada bulan umat Islam menyambut Aidiladha.

"Pelik-pelik orang zaman sekarang. Kita kan berada di hari 'emas'. 10 hari mulia dan terbaik. Tiba-tiba ada orang yang berfikir 'luar kotak' sampai buat perkara yang gila-gila dan tak terjangkau dek akal," katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan memperkenalkan dirinya sebagai Siti Amira Abdullah dalam satu acara di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya Melayu dan Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 11:23 AM