AKTIVITI pengambilan sampel oleh anggota Maqis di Stesen Kuarantin Haiwan Padang Besar, Perlis. FOTO Ihsan Maqis
AKTIVITI pengambilan sampel oleh anggota Maqis di Stesen Kuarantin Haiwan Padang Besar, Perlis. FOTO Ihsan Maqis
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Terdapat kes terpencil kemasukan lembu secara tidak sah berlaku di kawasan sempadan negara untuk memenuhi keperluan hari raya Aidiladha Ahad ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Shamsul Akbar Sulaiman berkata, sebanyak 24 ekor lembu dikesan dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah April lalu.

Katanya menerusi kerjasama dengan agensi penguatkuasa di sempadan, cubaan itu bagaimanapun dapat dipatahkan.

Menurutnya Maqis meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa terutamanya yang berada di luar pintu masuk seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membendung kemasukan haiwan atau barangan larangan secara tidak sah ke dalam negara.

"Sebanyak 1,345 permohonan permit import bagi kemasukan lembu hidup dari Thailand diterima pihaknya yang akan tamat proses kuarantin pada Sabtu.

"Bagi memastikan lembu yang dibawa masuk bebas dari penyakit, persampelan darah dijalankan bagi tujuan diagnosis penyakit," katanya.

Shamsul Akbar berkata ia bagi langkah kawalan untuk memastikan risiko ancaman penyakit dapat dikurangkan dan bekalan lembu bagi tujuan sembelihan sempena Hari Raya Aidiladha adalah bebas penyakit dan mencukupi.

"Semua ternakan itu dikuarantin di Stesen Kuarantin Jabatan atau Premis Kuarantin Ruminan milik swasta yang diluluskan oleh Maqis.

"Terdapat dua Stesen Kuarantin Maqis iaitu di Stesen Kuarantin Padang Besar, Perlis dan Stesen Kuarantin Rantau Panjang, Kelantan manakala terdapat 15 Premis Kuarantin Swasta yang diluluskan terletak di negeri bersempadan Malaysia-Thailand seperti Kedah, Perlis dan Kelantan," katanya.

Beliau berkata, susulan jangkaan peningkatan kemasukan ternakan dari Thailand sempena Hari Raya Aidiladha, Maqis sudah melaksanakan susun atur gerak kerja dengan memastikan kemudahan pusat kuarantin yang mencukupi serta menggerakkan pegawai dari negeri lain untuk membantu pasukan penguatkuasa di negeri yang menerima kemasukan lembu yang tinggi seperti Kedah, Perlis dan Kelantan.

"Mereka akan terbabit di dalam aktiviti penguatkuasaan dan kuarantin khususnya di Stesen dan Premis Kuarantin.

"Ini disebabkan peningkatan aktiviti persampelan darah lembu bagi tujuan saringan penyakit.

"Dari segi keupayaan kemudahan kuarantin, pada masa ini Maqis dapat menampung kira-kira 12,000 ekor bagi setiap satu pusingan kemasukan melalui kemudahan di dua stesen kuarantin sedia ada dan 15 premis kuarantin swasta yang diiktiraf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 12:41 PM