Shamsul Akbar Sulaiman.
Shamsul Akbar Sulaiman.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) memaklumkan sebanyak 206 penyakit dan perosak pertanian yang dikesan sudah dipintas daripada masuk ke dalam negara tahun lalu.

Ketua Pengarah Maqis Shamsul Akbar Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 24 penemuan penyakit daripada produk haiwan termasuklah bakteria bawaan penyakit seperti Salmonella, Coliform, E-Coli, Newcastle Disease dan African Swine Fever.

"Sejumlah 119 perosak dan penyakit daripada produk tumbuhan pula telah ditemui seperti perosak atau serangga pengorek Sternochetus Mangiferae, ulat daun Plutella Xylostella dan hama tumbuhan Ephestia Cautella.

"Kesemua penemuan telah diambil tindakan termasuk dilucut hak dan dilupuskan, diarah untuk dirawat dan dihalang kemasukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Akbar berkata, bagi kawalan kuarantin haiwan hidup, lembu haiwan yang tertinggi dikuarantin di stesen kuarantin iaitu sebanyak 49,700 ekor diikuti haiwan lain seperti kuda, unggas serta haiwan kesayangan seperti anjing dan kucing.

Katanya, terdapat penemuan dua penyakit haiwan hidup dikenal pasti dan diambil tindakan iaitu Equine Herpes Virus yang ditemui melalui kemasukan kuda import di Stesen Kuarantin Maqis KLIA dan Foot Mouth Disease (FMD) melalui kemasukan lembu import di Premis Kuarantin Swasta, Kedah.

"Pengesanan awal, rawatan dan tindakan pelupusan segera di stesen dan premis kuarantin di luar pintu masuk negara yang dikendalikan oleh anggota Maqis adalah penting.

"Ini kerana stesen dan premis itu adalah benteng pertahanan terakhir bagi menghalang kemasukan perosak dan penyakit dari merebak ke dalam negara," katanya.

Shamsul Akbar berkata, pihaknya mengesan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 624 kes membabitkan perlanggaran dan ketidakpatuhan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Tindakan yang diambil termasuklah dikenakan kompaun, diarah untuk dirawat, dilucuthak dan dilupus serta terdapat juga konsainan diarah untuk berpatah balik ke negara pengeluar," katanya.

Beliau berkata, kesalahan dan ketidakpatuhan ini termasuklah kegagalan pengimport dan pengeksport mematuhi syarat ditetapkan seperti pengimportan dan pengeksportan tanpa permit Maqis yang sah dan gagal mengemukakan dokumen pengimportan.

Antaranya katanya, seperti Sijil Kesihatan Veterinar, Sijil Phytosanitari dan Sijil Halal, gagal melepasi kaedah rawatan ditetapkan serta penemuan serangga perosak dan produk yang tercemar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 12:31 PM