Shamsul Akbar (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Lokman Hakim Ali meninjau operasi di Pelabuhan Klang baru-baru ini. FOTO Ihsan Maqis.
Shamsul Akbar (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Lokman Hakim Ali meninjau operasi di Pelabuhan Klang baru-baru ini. FOTO Ihsan Maqis.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sebanyak 360,000 pemeriksaan dokumen terhadap transaksi masuk dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Shamsul Akbar Sulaiman berkata, persampelan produk pertanian import juga dipertingkatkan di pintu masuk di mana sebanyak 2,304 sampel dijalankan terhadap empat komoditi berisiko.

Beliau berkata, komoditi berisiko ini membabitkan produk daging, produk keratan ayam, produk babi dan pelbagai produk tumbuhan.

"Daripada jumlah berkenaan (2,304 sampel), sebanyak 24 penemuan kes penyakit bagi produk haiwan dan 119 kes perosak serta penyakit bagi produk tumbuhan ditemui.

"Untuk kes berkenaan, Maqis sudah mengambil tindakan termasuk dilucuthak dan dilupuskan, dirawat dan dihalang kemasukan atau 'Refuse Entry'.

"Pada masa sama, menyentuh soal kuarantin haiwan, Maqis melaksanakan kawalan kuarantin sebanyak 24,900 ekor haiwan di Stesen Kuarantin Maqis dan Premis Kuarantin Swasta yang diiktiraf di seluruh negara," katanya kepada Harian Metro.

Shamsul Akbar berkata, lembu adalah haiwan yang tertinggi dikuarantin dengan jumlah sebanyak 22,427 ekor diikuti dengan haiwan lain seperti anjing, kucing, kuda, unggas dan lain-lain.

Menurutnya, haiwan yang dikuarantin dalam tempoh masa tertentu akan diperiksa secara fizikal oleh pegawai Maqis sepanjang tempoh kuarantin sebelum dibenarkan keluar setelah didapati bebas daripada segala penyakit.

"Aktiviti perdagangan pertanian dan agromakanan di pintu-pintu masuk negara dilihat terus aktif dan meningkat berbanding tahun lalu.

"Dalam tempoh enam bulan pertama, Maqis menguruskan hampir 378,000 transaksi perdagangan pertanian di 57 pintu masuk negara berbanding 360,000 transaksi dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Kedudukan ekonomi semasa dilihat tidak merencat dan menghalang pengimport dan pengeksport untuk menjalankan aktiviti perdagangan pertanian dan agromakanan di pintu-pintu masuk negara," katanya.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 40 peratus adalah transaksi import dan 60 peratus adalah eksport.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 12:08 PM