MAQIS berjaya patahkan cubaan seludup daging babi di KLIA Selasa lalu. Foto ihsan MAQIS
MAQIS berjaya patahkan cubaan seludup daging babi di KLIA Selasa lalu. Foto ihsan MAQIS
Samadi Ahmad


Putrajaya: Cuba seludup daging babi sejuk beku secara besar-besaran ke negara ini.

Tindakan itu bagaimanapun dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor apabila berjaya merampas 100 kotak gabus mengandungi daging babi sejuk beku dari Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Selasa lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, semua daging babi itu gagal diisytiharkan dan bernilai RM28,000.

Menurutnya, rampasan itu hasil pemeriksaan rutin dilakukan pegawai penguatkuasa MAQIS selepas mendapati sebanyak 3,475 kilogram hasilan haiwan cuba dibawa masuk syarikat tempatan.

"Syarikat berkenaan gagal mengemukakan dokumen Permit Import yang sah dan Sijil Kesihatan daripada negara asal.

"Sampel produk daging babi itu akan dihantar ke Makmal Kesihatan Veterinar bagi tujuan persampelan untuk mengenalpasti penyakit African Swine Fever (ASF).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya semalam.

Mohd Sabri berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Katanya, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging itu adalah bagi menghalang risiko penularan wabak penyakit ASF ke negara ini dan akan menjejaskan industri penternakan babi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 10:47 AM