ALLAHYARHAM Konstabel Syaiful Aizuddin Abd Halim. FOTO Ihsan Pembaca
ALLAHYARHAM Konstabel Syaiful Aizuddin Abd Halim. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Perjalanan seorang anggota polis untuk menghadiri tugasan kawad kawalan kehormatan sempena majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Hulu Selangor bertukar tragedi apabila dia maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 35 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Serendah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, mangsa, Konstabel Syaiful Aizuddin Abd Halim, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di pinggang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Arsad Kamaruddin, berkata siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan dan terjatuh sendiri di atas jalan raya.

"Mangsa kemudian dilanggar sebuah kenderaan yang jenis dan nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Arsad berkata, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu supaya menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menerusi makluman di laman Facebook rasminya mengucapkan takziah di atas pemergian Syaiful Aizuddin.

"Allahyarham berkhidmat dalam PDRM selama tiga tahun dengan perkhidmatan terakhirnya di Balai Polis Bukit Sentosa, IPD Hulu Selangor.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dari kalangan orang-orang yang beriman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:44 PM