Norwati dan Roslan menunjukkan gambar terakhir Allahyarham Muhammad Luqman Hakim yang maut dalam kemalangan pada 18 Jun lalu. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN.
Norwati dan Roslan menunjukkan gambar terakhir Allahyarham Muhammad Luqman Hakim yang maut dalam kemalangan pada 18 Jun lalu. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: "Mulanya saya nampak ada satu jenazah bertutup kain putih, tetapi tidak singgah selain tak terdetik mengatakan itu mungkin anak sendiri.

"Saya nampak motosikal (kawasan kemalangan) tetapi tak nampak nombor pendaftarannya. Langsung tak terlintas sebab anak sudah pergi ke tempat kerja," kata Norwati Cha, 47.

Norwati adalah ibu kepada Muhammad Luqman Hakim Roslan yang maut dalam nahas mengorbankan dua nyawa di Kilometer 75 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Taman Keliang, Kalumpang, di sini, 18 Jun lalu.

Dalam kejadian 7.48 pagi itu, Muhammad Luqman Hakim bersama Mohamad Hazeem Haiqal Shuhaimi, kedua-duanya berusia 18 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Kerling ke Proton City, Tanjung Malim apabila motosikal Yamaha Y15 dinaiki mereka bertembung kereta Volvo dipandu lelaki berusia 29 tahun.

Mengimbau kembali kenangan terakhir bersama anak bongsu dari tiga beradik itu, Norwati berkata, Muhammad Luqman Hakim akan menghubunginya melalui WhatsApp sebaik tiba di tempat kerja.

"Bagaimanapun, pada hari kejadian tiada pesanan WhatsApp diterima menyebabkan saya menelefonnya berkali-kali tetapi tidak berjawab.

"Tidak lama selepas itu, dua rakan Muhammad Luqman datang ke rumah beritahu anak kemalangan. Sangkaan saya dia masih ada lagi namun hiba apabila diberitahu sudah tiada," katanya.

Norwati berkata demikian ketika ditemui pada lawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan di kediamannya di Taman Rajawali, Kalumpang, di sini, hari ini.

Menurut Norwati, sehingga hari ini dia dan suami, Roslan Hassan, 55, masih dalam keadaan terkejut dan sukar mempercayai apa yang berlaku kepada anak mereka.

"Dia ada menyatakan hasrat untuk sambung belajar dalam bidang elektrik tetapi tidak mahu pergi jauh (untuk belajar). Tiada perubahan pada arwah dan dia memang berkawan baik dengan Mohamad Hazeem Haiqal sejak kecil lagi. Cuma, apabila masuk ke Darjah Enam, mereka berpisah seketika kerana Hazeem memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Trolak.

"Sebagai ibu, saya harus reda dengan ujian ini walaupun sukar untuk menerima hakikat dia sudah tiada," katanya.

Bagi ibu dan bapa Mohamad Hazeem Haiqal, Shuhaimi Ramli, 71, dan Rosniwati Ahmad, 58, berkata, anaknya itu adalah menjadi harapan keluarga.

"Saya tidak menilai anak, tetapi orang yang menilai kebaikannya. Selepas kemalangan, orang ramai tidak putus datang ke rumah memberi kata-kata semangat.

"Azam dia terlalu besar kerana dia mahu membawa ibunya menunaikan umrah Oktober ini. Bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayanginya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 4:43 PM