KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Nahas yang mengorbankan tiga individu di Kilometer 34 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, depan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah di sini, awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada kereta memasuki laluan bertentangan.

Kejadian 4.35 pagi itu mengorbankan pemandu Perodua Myvi dan isterinya masing-masing berusia 24 tahun.

Turut maut dalam nahas itu adalah lelaki berusia 18 tahun yang juga adik kepada pemandu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan berlaku ketika Perodua Myvi dinaiki ketiga-tiga mangsa menghala ke Antara Gapi dipercayai masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta itu kemudian bertembung dengan treler yang membawa muatan 'piling concrete.'

"Akibat pertembungan itu, semua mangsa yang berada dalam Perodua Myvi itu meninggal dunia dan mayat mereka dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Manakala pemandu treler pula dibawa ke sebuah klinik di Rawang kerana cedera di dada," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Arsad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, pihaknya segera melakukan operasi untuk mengeluarkan mangsa sebelum pasukan perubatan melakukan pemeriksaan dan mengesahkan semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 12:12 PM