GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Dua rakan cedera dipukul dan disamun individu tidak dikenali di daerah ini, minggu lalu.

Dalam kejadian 11.30 pagi 9 November lalu, kedua-dua mangsa dikatakan mahu berjumpa dengan wanita yang baru dikenali sebelum dihampiri seorang lelaki berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, suspek mendakwa sebagai bapa saudara wanita itu menuduh mangsa berusia 18 tahun mahu melakukan perkara tidak baik ke atas anak saudaranya.

"Lelaki itu bertindak memukul mangsa dan rakannya sebelum merampas dua telefon bimbit milik mangsa.

"Suspek juga mengugut mereka supaya menyerahkan wang RM 500 selain mahu merampas motosikal dinaiki mangsa," katanya dalam kenyataan, semalam.

Arsad berkata, kejadian itu mengakibatkan kedua-dua mangsa cedera di kepala dan perut.

Bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan ke rumah suspek dan menahannya serta merampas dua telefon bimbit.

"Lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 10:41 AM