Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Takut dimarahi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menyebabkan Yasmin Nahar Mahmood, 19, tidak menceritakan kepada polis mengenai kain disumbat pada mulut remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Pendedahan penghuni rumah kebajikan itu yang juga saksi pendakwaan kelima, selepas disoal Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, berhubung kewujudan kain terbabit semasa siasatan dijalankan.

Yasmin berkata, dia tidak menceritakan kepada polis kerana takut Siti Bainun akan mengetahui perkara itu dan memarahinya.

"Sebab Bainun dah bagi arahan jangan beritahu apa-apa, kalau saya cerita saya takut nanti Bainun marah.

"Waktu itu saya tidak percaya di pihak mana-mana pun," katanya.

Menurut Yasmin, selain tidak menceritakan kejadian, dia juga tidak menunjukkan kain itu kepada polis disebabkan sudah dibuang kerana berbau.

Dalam prosiding pada 21 April lalu, saksi pendakwaan ketujuh memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa pihaknya tidak mengambil lapan gambar bahan bukti bagi kes Bella antaranya cawan Ikea dan Starbucks, batang penyodok, besi penyangkut langsir, tali rafia, kain perca pengikat mulut serta dua jenis cecair pelembut pakaian.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yasmin tidak bersetuju dengan cadangan peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor bahawa kejadian mengikat dan tidak mahu memberi air kepada Bella dilakukan olehnya.

Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kenyataannya direka bertujuan untuk memastikan Siti Bainun dipenjarakan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

SITI Bainun ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
SITI Bainun ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 5:15 PM