Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu bahawa terdapat unsur penderaan dan penganiayaan terhadap remaja sindrom down, dikenali Bella.

Saksi pendakwaan ke-20 Pegawai Penyiasat, Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Rohaini Baharom berkata ia berdasarkan beberapa faktor iaitu siasatan awal daripada pegawai penyiasat terdahulu iaitu (SP-19) Inspektor Suhaili Mahad, 31, yang menyatakan Bella memberitahu kecederaan pada tubuhnya disebabkan air panas.

"Ia juga berdasarkan keterangan saksi-saksi yang tinggal dalam Rumah Bonda antaranya (SP-5), Yasmin Nahar Mahmood, 19.

"Keterangan juga diterima daripada kenalan rapat tertuduh yang menyatakan pernah melihat Siti Bainun mendera Bella dengan cara menyimbah air panas, memberi Bella makan cili dan najis serta mengurungnya di dobi selain makan minumnya tidak menentu," katanya ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad ketika pemeriksaan utama,

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas kesalahan menganiaya, mengabaikan Bella sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Rohaini berkata, siasatan terhadap keterangan doktor pakar yang merawat Bella juga berpendapat bahawa kejadian yang menimpa mangsa, berlanjutan dalam tempoh yang lama malah kecederaan bukan kerana disebabkan kemalangan atau perbuatan sendiri.

"Doktor pakar menyatakan punca kecederaan adalah disebabkan bahan hangat seperti air panas.

"Ia juga berdasarkan perbualan mesej menerusi aplikasi 'WhatsApp' yang diterima oleh pegawai pelindung Bella dikenali Imran daripada tertuduh, yang memberitahu Bella mengalami kecederaan selepas terkena air panas," katanya.

Katanya, siasatan ke atas mesin penapis air juga mendapati ia berfungsi dengan baik dan tiada sebarang kerosakan pada suhu air panas atau sejuk.

Ketika disoal balas, Rohaini bersetuju apabila peguam Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf mencadangkan bahawa kesimpulan itu dibuat berdasarkan keterangan yang diperoleh daripada Yasmin.

Siti Bainun hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Siti Bainun hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN


Mohammad Farhan: Boleh Puan beritahu mahkamah, doktor yang mana maklumkan kecederaan Bella bukan disebabkan kemalangan tetapi bentuk penderaan?

Rohaini: Pakar Pediatrik Dr Nizam Malik Bali Mohamed dari Hospital Tunku Azizah di sini menyatakan, dari segi pengalamannya ada berlaku unsur penderaan, manakala keterangan Pegawai Perubatan Plastik Hospital Kuala Lumpur, Dr Sheshadri Sridar yang mengesahkan kecederaan yang dialami remaja itu disebabkan objek panas yang mengakibatkan luka kesan lecur serta kronik.

Mohammad Farhan: Mohon puan rujuk dua eksibit, berdasarkan laporan perubatan dua doktor ini, tunjukkan kepada mahkamah di manakah yang puan katakan doktor keluarkan laporan bahawa kecederaan yang dialami Bella adalah penderaan dan bukannya kemalangan.

Rohaini: Maaf Yang Ariff, saya tak boleh terangkan laporan yang disediakan dua pakar itu kerana saya bukan pakar perubatan.

Mohammad Farhan: Puan boleh baca laporan perubatan ini?

Rohaini: Boleh.

Mohammad Farhan: Jadi saya mohon puan tunjukkan kepada mahkamah, cari di mana perkataan penderaan yang puan maksudkan.

Rohaini: Maaf saya tak cakap daripada laporan perubatan tapi saya sebut daripada keterangan pakar-pakar yang merawat Bella.

Mohammad Farhan: Kalau macam itu, maksudnya rakaman percakapan dua doktor ini, mereka kata yang kecederaan Bella adalah satu bentuk penderaan?

Rohaini: Disyaki satu bentuk penderaan.

Mohammad Farhan: Maksudnya dapatan doktor tak mencukupi konklusif (meyakinkan).

Rohaini: Tidak setuju.


Terdahulu, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 4:30 PM