SITI Bainun Ahd Razali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
SITI Bainun Ahd Razali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu kejadian remaja Sindrom Down dikenali Bella yang diberi makan cili dan najis, disimbah air panas serta dimarahi, tidak pernah berlaku.

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 31, berkata, keterangan saksi pendakwaan kelima (SP5), Yasmin Nahar Mahmood yang juga bekas penghuni Rumah Bonda itu adalah tuduhan palsu terhadapnya.

Ketika pemeriksaan utama, peguam Mohammad Farhan Maaruf meminta Siti Bainun yang juga orang kena tuduh (OKT) untuk menceritakan kepada mahkamah kejadian yang dianggap sebagai tuduhan.

Mohammad Farhan: Tadi puan kata kejadian ini tak berlaku. Boleh puan ceritakan kejadian apa?

Siti Bainun: Semua tuduhan Yasmin terhadap saya.

Mohammad Farhan: Boleh ceritakan apa (tuduhan)?

Siti Bainun: Seingat saya Yasmin masa jadi saksi beritahu kononnya saya suruh dia ikat Bella setiap masa, saya suruh bagi makan cili, makan najis, simbah air panas, tekap kuali dan marah-marah.

Mohammad Farhan: Berkenaan simbah air panas, kenapa puan kata tak pernah berlaku?

Siti Bainun: Memang tak berlaku, sebab tiada keperluan saya buat macam itu terutama sekali kepada Bella.

Dalam keterangan sama, Siti Bainun memberitahu dia tidak pernah menekap kuali pada paha Bella dan mendakwa keterangan diberikan Yasmin mengenai kejadian itu juga tidak konsisten.

"Tak ada sebab saya nak buat kepada Bella dan kenapa Bella? Bella tak pernah susahkan saya walaupun sekali. Saya tidak perlu buat pada Bella dan bukan juga pada yang lain termasuk Yasmin, walaupun dia (Yasmin) paling banyak memeningkan saya hampir setiap hari," katanya.

Pada 14 April tahun lalu, Yasmin dalam keterangannya kepada mahkamah memberitahu Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh Siti Bainun.

Menurut keterangannya, Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 12:39 PM