Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali menafikan remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella diberi makan cili seperti didakwa saksi pendakwaan kelapan iaitu rakan baiknya, Suhana Zam di mahkamah sebelum ini.

Siti Bainun, 31, menjawab demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh memberitahu bahawa Suhana, 40, tidak mengambil peduli mengenai anak-anak jagaannya walaupun kerap datang ke rumah, malah wanita itu juga tidak menyukai kanak-kanak.

Nor Azizah: Suhana ini kawan baik kamu, kamu akan bantu Suhana dan Suhana akan bantu kamu. Jadi apa keperluan Suhana untuk mereka-reka cerita jika kejadian ini tidak berlaku?

Siti Bainun: Saya tidak tahu.

Nor Azizah: Saya katakan apa Suhana ceritakan itu adalah betul dan Suhana tidak mereka-reka cerita.

Siti Bainun: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya juga katakan apa Suhana beritahu di dalam mahkamah bukanlah terpengaruh dengan cerita Zurianty (saksi pendakwaan pertama) dan cerita di media sosial.

Siti Bainun: Tidak setuju.

Nor Azizah: Dalam keterangan kamu juga, kamu ada kata yang Suhana ini tidak ambil peduli dan bukan jenis suka kanak-kanak. Tetapi cerita Suhana ini timbul apabila ada siasatan polis.

Siti Bainun: Tidak setuju.

Nor Azizah: Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara termasuk Suhana, untuk menceritakan perkara sebenar apa yang berlaku dan apa dia nampak di Kondominium Irama Wangsa pada masa dia ada di situ.

Siti Bainun: Tidak setuju.

Nor Azizah: Saya katakan cerita Suhana ini adalah cerita yang benar berlaku dan dia tiada agenda lain.

Siti Bainun: Tidak setuju.

Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP

Pada 13 Jun tahun lalu, Suhana memberitahu mahkamah melihat Siti Bainun memegang dagu dan memaksa Bella makan nasi goreng digaul cili yang banyak.

Ketika kejadian, Suhana duduk di meja makan, manakala Bella berdiri depan peti ais sebelum Siti Bainun menyuap remaja itu nasi goreng mengandungi sejumlah cili yang nisbahnya lebih banyak berbanding nasi.

Dalam prosiding sama, Nor Azizah membangkitkan persoalan berhubung kewujudan seorang individu bernama Farah yang didakwa menjaga Bella, sedangkan nama wanita itu tidak pernah disebut dan tiada dalam mana-mana gambar yang diserahkan kepada mahkamah.

Ketika disoal Nor Azizah sama ada Suhana atau saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood pernah menceritakan mengenai Farah semasa memberi keterangan, Siti Bainun menjawab tidak setuju dan tidak pasti.

"Sekiranya kamu beritahu mengenai Farah, sudah tentu polis akan jalankan siasatan ke atas Farah. Begitu juga kalau Farah ada di rumah kamu, Yasmin dan Suhana akan menceritakan keberadaan Farah," soalnya.

Nor Azizah mencadangkan bahawa Farah tidak wujud berikutan tiada barang kes termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan kewujudan wanita itu, Siti Bainun menjawab tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 1:18 PM