Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pegawai Penyiasat, Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini bahawa keterangan direkodkan daripada saksi memberitahu remaja sindrom down, Bella pernah ditekap di tangan dengan kuali dan diarahkan berdiri sehingga ke malam.

Saksi pendakwaan ke-20, Asisten Superintendan Rohaini Baharom berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas kesalahan menganiaya, mengabaikan Bella sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Ketika ditanya peguam Mohammad Farhan Maarufapa yang mewakili Siti Bainun, Rohaini mengesahkan bahawa ia berdasarkan keterangan yang dikemukakan empat saksi bahawa mereka melihat perbuatan itu.

SITI Bainun Ahd Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
SITI Bainun Ahd Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin

Mohammad Farhan: Saya cadangkan bahawa keterangan empat saksi itu ketika dirakam percakapan dengan keterangan diberikan di mahkamah adalah berlainan?

Rohaini: Tidak setuju

Mohammad Farhan: Dari siasatan puan juga, saya cadangkan tiada kesan lebam atau bengkak?

Rohaini: Saya tidak pasti

Mohammad Farhan: Ada puan bandingkan percakapan saksi dengan percakapan OKT (orang kena tuduh).

Rohaini: Ada

Mohammad Farhan: Puan ada bandingkan yang boleh membezakan keterangan rakaman saksi dan OKT.

Rohaini: OKT hanya beri keterangan luka lecur berlaku sekali sahaja yang mana kejadian berlaku ketika Bella merebut jajan dari Balkis dan terkena termos air lalu terjatuh ke lantai sehingga terkena badan Bella.

Terdahulu, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 4:56 PM