GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Terpedaya dengan tawaran keuntungan lumayan skim pelaburan hari raya, seramai 296 individu berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan membabitkan kerugian hampir RM4 juta.

Kejadian itu dipercayai mula berlaku pada 22 April lalu apabila seorang mangsa yang juga wanita berusia 31 tahun menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali menceritakan mengenai pelaburan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa dijanjikan akan menerima pulangan sebanyak RM55,000 dalam tempoh tiga hari sekiranya membuat pelaburan sebanyak RM30,000.

Beliau berkata, mangsa yang teruja dengan tawaran berkenaan membuat pelaburan sebanyak RM100,0000 sebelum dia bertindak mengiklankan pelaburan berkenaan ke dalam kumpulan WhatsApp.

Katanya, pulangan lumayan yang dijanjikan menyebabkan seramai 296 mangsa berminat menyertai skim berkenaan dengan nilai pelaburan serendah RM30,000 membabitkan nilai pelaburan keseluruhan hampir RM4 juta.

"Kesemua kutipan itu diserahkan kepada pihak urusan pelaburan yang memperkenalkan diri sebagai Datin Ida dan mangsa yang bekerja sebagai peniaga diarahkan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun diberikan suspek.

"Hasil keuntungan pelaburan itu, mangsa diberi bonus sebanyak RM190,000 daripada Datin Ida kerana berjaya mencapai sasaran luar biasa dalam tempoh yang singkat.

"Bagaimanapun, mangsa bersama rakannya yang lain mula mengesyaki mereka menjadi mangsa penipuan apabila tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 11:26 PM