Foto hiasan
Foto hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI kerugian hampir RM16,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dalam kejadian di Kuala Terengganu.

Kejadian dipercayai bermula apabila mangsa berusia lingkungan 20-an itu melihat satu iklan menawarkan pelaburan di Facebook (FB) pada 3 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa ditawarkan pelaburan permulaan serendah RM500 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM16,000 dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, mangsa yang teruja dengan pulangan wang dijanjikan itu kemudiannya bersetuju dengan tawaran terbabit sebelum berurusan dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.

"Wanita terbabit meminta mangsa membuat pembayaran pelaburan termasuk bayaran cukai ke akaun bank diberikannya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,259.

"Walaupun sudah membuat bayaran seperti yang diarahkan, mangsa tidak menerima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan selain platform yang digunakan untuk urusan pelaburan sebelum ini juga sudah tidak berfungsi.

"Mangsa yang mengesyaki dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

M Zambri menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan individu atau sindiket yang menawarkan sebarang pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan lumayan.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menyemak latar belakang syarikat pelaburan itu terlebih dahulu bagi memastikan syarikat itu memiliki lesen sah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) jika terdapat sebarang pertanyaan.

"Jangan sesekali menyerahkan wang anda kepada mana-mana individu yang baru dikenali sama ada secara tunai atau dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 12:59 PM