MICHAEL (duduk, dua kanan) bersama beberapa mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan. FOTO Hakimi Suria Kencana
MICHAEL (duduk, dua kanan) bersama beberapa mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan. FOTO Hakimi Suria Kencana
Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Terpedaya dengan tawaran pulangan pelaburan sebanyak lima peratus menyebabkan 107 individu kerugian RM2.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat.

Ahli perniagaan, Teoh Chek Wee, 43, berkata, dia mula melabur dalam syarikat pelaburan itu pada 2021 selepas tertarik dengan tawaran dividen sebanyak lima peratus.

Menurutnya, pada tahun pertama, dia mendapat pulangan yang dijanjikan namun mula menghadapi masalah apabila masuk tahun kedua.

"Masuk saja tahun kedua, saya sudah tidak mendapat pulangan yang dijanjikan menyebabkan wang pelaburan saya lesap," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Gerald Chee Ka Onn, 44, berkata, dia melabur sebanyak RM10,000 pada 2021.

"Tujuan saya membuat pelaburan adalah untuk mencari modal membuka klinik pergigian.

"Namun saya mengalami nasib sama apabila wang dilaburkan lesap. Syarikat itu difahamkan sudah tidak beroperasi dan muflis serta ada kes di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima aduan daripada 107 individu yang menjadi mangsa penipuan syarikat itu dengan nilai kerugian RM2.4 juta.

"Kebanyakan pelabur terpedaya dengan skim pelaburan ini melalui iklan di Facebook dan ajakan rakan-rakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 5:27 PM