Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Lima taman asuhan kanak-kanak (taska) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditutup susulan kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, ia membabitkan tiga taska di daerah Hulu Terengganu serta masing-masing satu di Dungun dan Kemaman.

Beliau berkata, kesemua taska berkenaan ditutup secara berperingkat dalam tempoh antara tiga hari hingga 10 hari bermula 17 Mei hingga 2 Jun depan selepas 34 kes dikesan.

"Setakat ini, kes ini masih di tahap belum serius lagi dan insya-Allah, kita sudah memaklumkan ibu bapa untuk tidak menghantar anak mereka ke taska sekiranya mempunyai gejala sebaliknya terus membawa mereka ke hospital untuk rawatan bagi mengelak penularan.

HANAFIAH ketika sidang media selepas Sambutan Hari Ibu dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus di sini, semalam. FOTO GHAZALI KORI
HANAFIAH ketika sidang media selepas Sambutan Hari Ibu dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus di sini, semalam. FOTO GHAZALI KORI

"Alhamdulilah, kesedaran ibu bapa terhadap penyakit ini semakin tinggi apabila mereka ini mengambil tindakan sewajarnya jika anak mereka mempunyai gejala HFMD atau tidak sihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus di sini hari ini.

Hanafiah berkata, pihaknya memandang serius kes jangkitan HFMD walaupun ketika ini ia masih terkawal.

Katanya, pemantauan secara berterusan sentiasa dilakukan bagi memastikan taska dan taman didikan kanak-kanak (tadika) yang ada di Terengganu berada dalam keadaan selamat.

"Apabila kes HFMD dikesan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan buat penilaian terlebih dahulu sebelum arahan penutupan dibuat bagi membendung penularan penyakit berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 2:06 PM