NANCY Shukri (kanan) pada pelancaran Program Kasih KPWKM Gempur Saringan HPV DNA sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2024 di Desa Tunas Hijau, hari ini. FOTO Bernama
NANCY Shukri (kanan) pada pelancaran Program Kasih KPWKM Gempur Saringan HPV DNA sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2024 di Desa Tunas Hijau, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Peningkatan bilangan wanita menjalani ujian virus papiloma manusia (HPV) di seluruh negara menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan golongan itu terhadap usaha mengesan dan mencegah kanser serviks.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebanyak 112,524 orang wanita direkodkan menjalani ujian berkenaan pada 2019 hingga tahun lalu dengan 23,744 daripadanya di Sarawak, diikuti Sabah (12,778) dan Kuala Lumpur (10,932).

"Data berkenaan menunjukkan peningkatan ketara terhadap golongan wanita yang menjalankan ujian sekali gus melambangkan kejayaan program saringan kanser serviks di seluruh negara.

"Kita lihat lebih ramai wanita berani melangkah ke hadapan bagi melakukan pengesanan awal dan pencegahan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program KASIH KPWK: Gempur Saringan HPV DNA 2024 Labuan sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan di Desa Tunas Hijau di sini hari ini.

Menurut Nancy, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah memperkenalkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCare) yang bermatlamat mempromosikan program pemeriksaan awal kanser termasuk Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) dan saringan kanser payudara melalui ujian mamogram yang ditawarkan secara percuma.

Beliau berkata menerusi WCare, pada tahun ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejumlah 57,000 wanita menerima manfaat daripada kempen itu.

LPPKN, katanya mengendalikan 50 Klinik Nur Sejahtera di seluruh negara termasuk tiga di Sabah manakala klinik di Tawau dijangka beroperasi pada 1 Februari ini.

"Di hospital swasta, kos bagi sekali ujian HPV DNA ialah antara RM300 hingga RM500," katanya.

Menurut Nancy, sempena pelancaran KASIH KPWKM Gempur Saringan HPV DNA 2024 Labuan itu, sebanyak 500 wanita di pulau bebas cukai berkenaan akan menerima manfaat daripada saringan kanser serviks percuma menerusi ujian HPV DNA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 2:32 PM