Siti Zailah (tengah) menyampaikan baucar saringan percuma kepada penduduk Kampung Orang Asli Langkap pada Jelajah Kasih Keluarga Malaysia (JKKM) dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Kampung Orang Asli Langkap, petang semalam. Foto Mohd Amin Jalil
Siti Zailah (tengah) menyampaikan baucar saringan percuma kepada penduduk Kampung Orang Asli Langkap pada Jelajah Kasih Keluarga Malaysia (JKKM) dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Kampung Orang Asli Langkap, petang semalam. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Seramai 505,465 wanita di negara ini menjalani ujian program subsidi mamogram dan perkhidmatan saringan kanser serviks (HPV DNA) sejak 2019 hingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, program kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu penting untuk wanita bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

Katanya, selain kanser ovari dan payudara, kanser serviks menjadi ancaman khususnya kepada wanita muda di negara ini.

"Kanser serviks atau pangkal rahim adalah kanser tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini, namun peratusan wanita yang menjalani ujian pap smear bagi tujuan pengesanan awal penyakit itu masih rendah.

"Kerajaan menawarkan perkhidmatan HPV DNA secara percuma menerusi program subsidi mamogram.

"Sejak diperkenalkan, seramai 505,465 wanita di negara ini telah menerima manfaat daripada program berkenaan termasuk 32,604 orang daripadanya membabitkan wanita di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia (JKKM) dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjong Ipoh, di sini, semalam.

Siti Zailah berkata, wanita yang bertaraf penduduk tetap negara ini berusia 40 hingga 70 tahun layak menerima subsidi ujian mamogram secara percuma dengan pendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan.

Menurutnya, kriteria lain adalah wanita berumur 35 hingga 39 tahun dengan sejarah keluarga mengidap kanser payudara yang mendapat pengesahan doktor.

Katanya, terdapat lebih 70 peratus wanita di negara ini yang belum menjalani ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara sedangkan nisbah menunjukkan 34.1 wanita bagi setiap 100,000 wanita berdepan dengan penyakit berkenaan.

"Saya berharap wanita di negara ini agar menyahut seruan kerajaan untuk segera membuat saringan awal melalui pelbagai program saringan kesihatan yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:21 PM