Mayat Ahmad Qarib Ab Kadir, yang ditemui lemas dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO ROSLI ILHAM
Mayat Ahmad Qarib Ab Kadir, yang ditemui lemas dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Chukai: "Hati saya mula berdebar selepas menemui selipar mereka di tepi pantai. Kami adik-beradik mencari ayah sekitar kawasan itu namun tidak menemuinya dan kami mula syak mereka mandi di situ," kata Muhammad Usaamah Ahmad Qarib.

Dia adalah anak kepada pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang di Pantai Penunjuk di Kijal di sini, pagi hari ini.

Ayahnya, Ahmad Qarib Ab Kadir, 60, kemudiannya ditemui lemas pada 2.10 petang.

Terdahulu, Ahmad Qarib bersama isterinya, Rokiah Abd Rahman, 59, dari Temerloh Pahang dikatakan mandi di pantai terbabit pada 4 pagi.

Muhammad Usaamah, 19, berkata, dia bersama dua ibu bapa serta tiga adik-beradiknya berusia antara 16 hingga 24 tahun bercuti di situ.

"Ibu dan ayah ada maklum untuk turun ke pantai kira-kira 40 meter dari tempat kami menginap.

"Bila saya dan adik beradik bangun pada 5 pagi, kami dapati mereka (ayah dan ibu) sudah tiada," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya ke pantai untuk mencari kedua ibu bapanya itu.

"Ayah dan ibu memang selalu mandi sebelum waktu Subuh dan saya mencari mereka di pantai itu.

"Saya temui selipar dan tikar di tepi pantai itu dan ketika itu saya syak mereka mandi di situ dan bila gagal mencari mereka, saya segera menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan," katanya.

Muhammad Usaamah berkata, dia tidak menyangka percutian mereka sekeluarga di pantai itu membawa berita sedih.

Sementara itu, Mohd Shahrul Hisyam Nawawi, 30, berkata, dia menemui suatu objek menyerupai manusia ketika memancing pada 2 petang.

Menurutnya, sebelum itu dia bersama seorang rakan sedang memancing di atas sebuah bot gentian kaca kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman.

"Ketika bot bergerak untuk beralih ke kawasan lain, saya ternampak objek seperti manusia sebelum meminta rakan memusingkan bot.

"Sebaik ke lokasi, saya dapati mayat seorang lelaki dengan baju-T dengan kain pelikat sebelum saya menghubungi pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, sebaik pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tiba, dia terus meninggalkan lokasi dan menyerahkan urusan selanjutnya kepada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 7:54 PM