ANGGOTA Bomba mengangkat mayat Rokiah untuk dibawa ke Hospital Kemaman. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba mengangkat mayat Rokiah untuk dibawa ke Hospital Kemaman. FOTO ihsan Bomba
Rosli Ilham


Chukai : Mayat Rokiah Abd Rahman, 59, yang dilaporkan hilang bersama suaminya ketika mandi di Pantai Penunjuk di Kijal, Jumaat lalu, ditemukan, malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Mohd Nazimi Mohamad berkata, mayat Rokiah yang lengkap berpakaian dijumpai oleh nelayan di perairan Pulau Tenggol berhampiran Teluk Air Tawar, 7.15 malam tadi.

"Mayat mangsa ditemui terapung di kawasan itu, kira-kira 40 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

"Nelayan terbabit kemudiannya menghubungi pihak berkuasa sebelum anggota penyelamat ke lokasi kejadian untuk mengambil mayat terbabit," katanya.

Mohd Nazimi berkata, mayat mangsa dibawa ke Kuala Kemaman, kira-kira 4 pagi tadi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Menurutnya, hasil pengecaman daripada ahli keluarga mangsa mengesahkan mayat itu adalah Rokiah berdasarkan muka dan pakaian.

Dalam kejadian itu Jumaat lalu, Rokiah bersama suaminya, Ahmad Qarib Ab Kadir,60, dilaporkan hilang ketika mandi di pantai terbabit.

Mayat Ahmad Qarib ditemui sehari selepas itu, kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman.

Berita berkaitan:


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 11:47 AM