Laporan portal Harian Metro mengenai penjaga pusat jagaan menodai kanak-kanak perempuan di bawah jagaannya.
Laporan portal Harian Metro mengenai penjaga pusat jagaan menodai kanak-kanak perempuan di bawah jagaannya.
Hasbi Sidek


PUSAT jagaan anak yatim dan asnaf di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur yang didiami empat mangsa cabul dan rogol penjaga pusat berkenaan didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Pengarah JKM, Mohd Fazari Salleh berkata, pusat jagaan itu dalam proses pendaftaran dengan pihaknya dan sudah pun mendapat kelulusan dari segi aspek teknikal.

“Hasil semakan terhadap pusat jagaan itu, kami mendapati ia tidak mempunyai perakuan pendaftaran mengikut Akta Pusat Jagaan 1993.

“Pihak pengusaha dalam usaha untuk mendaftarkan pusat jagaan terbabit dan sudah pun mendapat kelulusan tiga agensi teknikal iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kesihatan,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Mohd Fazari berkata, pusat jagaan yang berdaftar di bawah JKM akan lebih terjamin dalam aspek kesejahteraan penghuninya, termasuk dari segi keselamatan kerana pegawai JKM akan membuat pemantauan secara berkala dan secara ad hoc dari semasa ke semasa.

“Justeru, amat penting ibu bapa atau keluarga yang ingin meletakkan seseorang kanak-kanak di sesebuah pusat jagaan memastikan pusat jagaan terbabit mempunyai perakuan pendaftaran dikeluarkan oleh JKM,” katanya.

Mengulas mengenai status mangsa, Mohd Fazari berkata, pihak JKM akan membuat intervensi terhadap mangsa dan keluarga mangsa bagi memberi sokongan psikologikal serta bantuan lain yang bersesuaian.

Metro Ahad melaporkan seorang wanita terkejut sebaik mengetahui anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun menjadi habuan nafsu serakah seorang penjaga pusat jagaan berkenaan.

Lelaki lingkungan 20-an itu dipercayai mengambil kesempatan terhadap anak yatim dan asnaf di bawah jagaannya bagi memuaskan nafsu dengan merogol dan mencabul mangsa.

Bagaimanapun, perbuatan terkutuk lelaki yang juga suami kepada pemilik pusat terbabit terbongkar apabila seorang daripada penghuni mendedahkan perkara itu kepada ibu saudaranya.

Pendedahan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu turut membongkar perbuatan rogol dan cabul dilakukan terhadap tiga lagi penghuni lain di pusat jagaan terbabit.

Susulan itu, polis menahan suspek Jumaat lalu dan direman hingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, wakil pusat jagaan berkenaan ketika dihubungi enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung kejadian dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.

Berita berkaitan

4 penghuni dinoda penjaga

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 12:51 AM