Nurul Amanina Suhaini


KECERIAAN jelas terpancar di wajah 20 penghuni pusat Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Negeri Johor di Johor Jaya, ketika menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengasasnya, Dr Yahya Haidrus berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini, pihaknya tidak menerima kunjungan orang luar.

Malah katanya, aktiviti fizikal penghuni juga terbatas susulan penularan wabak Covid-19.

"Sebelum ini ada orang persendirian dan NGO serta korporat datang menyalurkan bantuan dan beramah mesra dengan penghuni.

"Namun susulan Covid-19, kami harus mengutamakan keselamatan dan kesihatan penghuni.

"Apabila berlaku pandemik ini, saya faham mereka cenderung untuk merasa bosan," katanya ketika menerima sumbangan daripada Kelab Pemilik Kawasaki Versys Johor (JVOG) hari ini.

Hadir sama Pengerusi JVOG, Eddyham Ali dan Penasihat JVOG, Othman Hussain.

Yahya berkata, pusat berkenaan dikendalikan enam kakitangan bagi menguruskan orang kurang upaya (OKU) yang berusia dari tujuh bulan hingga 32 tahun.

Sementara itu, Othman berkata, pihaknya menyumbang keperluan mandian dan makanan harian kepada penghuni pusat jagaan itu.

Katanya, inisiatif itu mendapat kerjasama daripada Pasaraya Econsave serta sumbangan persendirian dalam kalangan ahli kelab berkenaan.

"Kami memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial dipatuhi ketika menyerahkan sumbangan.

"Sepanjang tempoh PKP sehingga kini, kami turut menyalurkan sumbangan kepada sembilan keluarga asnaf dan sebuah pusat kebajikan di sekitar Pasir Gudang, Kulai, Kota Tinggi dan Senai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 5:24 PM
 Othman Hussain (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Dr Yahya Haidrus (kiri) di Pusat Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Negeri Johor, Johor Jaya. FOTOMOHD AZREN JAMALUDIN
Othman Hussain (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Dr Yahya Haidrus (kiri) di Pusat Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Negeri Johor, Johor Jaya. FOTOMOHD AZREN JAMALUDIN