Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: "Khayla gembira dan tidak sabar untuk menjalani pembedahan," kata Khayla Adha Mirza Imran, 6 yang mengidap penyakit Osteogenesis Imperfecta (OI).

Penyakit berkaitan tulang rapuh itu menyebabkan Khayla hanya mampu duduk dan baring, manakala pergerakannya juga agak terbatas.

Khayla dijangka akan menjalani pembedahan di Hospital Gleaneagles,di sini namun kanak-kanak comel ini memerlukan sumbangan RM140,000 bagi menampung keseluruhan kos pembedahan.

Ibu kanak-kanak itu, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 42, berkata, sejak lahir sehingga kini anaknya perlu berulang-alik ke hospital.

"Setiap pergerakannya akan mengundang risiko tulang patah dan setakat ini Khayla sudah 40 kali mengalami patah tulang di betis, kaki dan tangan selain menjalani dua pembedahan bagi membaiki struktur tulang.

KHAIROL Niza menemani anaknya, Khayla Adha Mirza  yang mengalami penyakit Osteogenesis Imperfecta (OI) memerlukan sumbangan sebanyak RM140,000 bagi menjalani pembedahan di Hospital Gleaneagles. FOTO Aziah Azmee
KHAIROL Niza menemani anaknya, Khayla Adha Mirza yang mengalami penyakit Osteogenesis Imperfecta (OI) memerlukan sumbangan sebanyak RM140,000 bagi menjalani pembedahan di Hospital Gleaneagles. FOTO Aziah Azmee

"Sejak lahir hingga berusia dua tahun, kehidupan Khayla hanya di hospital dan kini dia akan berulang-alik ke hospital enam bulan sekali.

"Sebelum ini Khaylan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan kami mendapat tahu terdapat pakar di Hospital Gleanegales menerusi kumpulan whatsapp bekas pesakit berkenaan,"katanya ketika ditemubual secara maya menerusi aplikasi Google Meet, hari ini.

Menurutnya, dengan pendapatan hanya sekitar RM2,000 sebulan, dia dan suami buntu memikirkan kos bagi pembedahan anak bongsunya itu.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suami sudah tidak bekerja dan kini hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Khayla juga sering beritahu dia ingin berjalan seperti orang lain," katanya.

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Pediatrik Ortopedik dan Trauma, Dr Abd Razak Muhamad di Hospital Gleneagles berkata, kanak-kanak dilahirkan dengan OI mempunyai tulang lembut yang mudah patah (patah tulang), tulang yang tidak terbentuk secara normal, dan masalah lain seperti pernafasan.

"Penyakit berkenaan juga menyebabkan kepatahan tulang yang berulang sehingga lama-kelamaan tumbuh semakin membengkok terutamanya pada bahagian tulang peha.

"Pembedahan penyambungan tulang menggunakan implan atau kerangka besi adalah cara merawat dan memulihkan kembali struktur tulang patah," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP (MAYBANK-5141-0532-3170).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:49 PM