DUHA Sofia yang akan melakukan pembedahan tulang kaki di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Azlan Hadi Abu Bakar
DUHA Sofia yang akan melakukan pembedahan tulang kaki di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Azlan Hadi Abu Bakar
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kanak-kanak perempuan yang menderita penyakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau tulang rapuh memerlukan bantuan berjumlah RM40,000 kerana perlu menjalani pembedahan segera terhadap kaki kirinya pula.

Sebelum ini, Nur Dhuha Sofia Mohammad Farid, 5, pernah melalui prosedur 'telescopic nails' pada kaki kanannya berikutan tulang paha patah dan membengkok pada 2020.

Ibunya, Siti Salwa Abdul Wahab, 29, berkata anak bongsu daripada dua beradik itu menderita penyakit itu sejak dilahirkan.

Menurutnya, Nur Dhuha sering melihat sepupunya memakai kasut dan bermain, namun dia tidak dapat berbuat demikian memandangkan pergerakannya terbatas.

"Saya selalu perhatikan gelagat Nur Dhuha apabila dia tengok kasut. Saya nampak dia rasa mahu mencuba pakai kasut lebih-lebih lagi bila dia memandang dari jauh sepupunya yang boleh berjalan dan bermain.

"Melalui pembedahan kali kedua ini, harapan saya agar Nur Dhuha dapat bergerak sama seperti kanak-kanak lain walaupun sekarang pergerakannya terbatas kerana banyak mengesot, merangkak dan belum boleh berjalan lagi.

"Nur Dhuha lebih selesa bermain di bilik dan menonton rancangan kartun kegemarannya, Upin dan Ipin, malah abangnya yang berusia sembilan tahun selalu menemani dan akan mendukung adiknya kalau mahu ke mana-mana," katanya melalui sidang video, hari ini.

Siti Salwa berkata, dia memberi perhatian penuh kepada anak bongsunya kerana Nur Dhuha memerlukan penjagaan khusus berikutan tulangnya mudah patah.

"Suami bekerja kilang di Pulau Pinang dengan pendapatan hanya RM1,800, manakala perbelanjaan Nur Dhuha sebulan kadang-kala boleh mencecah RM2,000 termasuk susu, lampin pakai buang dan kos rawatan jika ada tulang yang patah.

"Semoga pembedahan di kaki kiri ini berjalan lancar dan keadaan Nur Dhuha bertambah baik," katanya.

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Pediatrik Ortopedik dan Trauma Hospital Gleneagles, Dr Abd Razak Muhamad berkata, OI adalah gangguan tulang yang jarang berlaku iaitu satu dalam 100,000 kelahiran setiap tahun.

"Bayi dilahirkan dengan OI mempunyai tulang lembut yang mudah patah, tulang yang tidak terbentuk secara normal, dan masalah lain seperti pernafasan.

"Penyakit berkenaan juga menyebabkan kepatahan tulang berulang sehingga lama-kelamaan tumbuh semakin membengkok terutamanya pada bahagian tulang peha," katanya.

Katanya, pembedahan penyambungan tulang menggunakan implan atau kerangka besi adalah satu-satunya cara merawat dan memulihkan kembali struktur tulang patah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek pula, tulis nama pesakit di belakang cek berkenaan dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP layak mendapat pelepasan cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 1:51 PM