Ahmad Hasbi

Seremban: Semangat perpaduan 'luar biasa' apabila tiga kaum bergabung tenaga menghasilkan bubur lambuk sempena Ramadan di Taman Rasa Sayang, di sini, tadi.

Memecah tradisi kebiasaan aktiviti memasak bubur lambuk yang lazimnya dilakukan kaum Melayu atau umat Islam, Program Bubur Lambuk Perpaduan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rasa Sayang itu menampilkan tiga kaum bergotong-royong memasak juadah berkenaan.

Lebih menarik, program yang bermula seawal jam 7 pagi itu dilaksanakan di rumah Ahli Jawatankuasa (AJK) KRT Taman Rasa Sayang, A Sathiasilan, 66, yang berbangsa India.

Pengerusi KRT Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed berkata, program memasak bubur lambuk itu dijalankan di serentak di seluruh negara di bawah Jabatan Perpaduan Negara.

"Namun, di KRT ini kami mengambil inisiatif berbeza dengan membabitkan kaum lain ketika kerja gotong-royong menghasilkan bubur lambuk ini dan ia sebagai satu langkah untuk memperkenalkan budaya masyarakat Melayu kepada kaum lain.

"Malah, program pada hari ini dijalankan di rumah penduduk berbangsa India dan bagi menghormati sensitiviti keluarganya, bubur lambuk yang biasanya menggunakan daging lembu ditukar kepada ayam," katanya ketika ditemui pada program itu tadi.

Penduduk berbilang kaum di Taman Rasa Sayang bergotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan di kawasan perumahan itu. FOTO AZRUL EDHAM
Penduduk berbilang kaum di Taman Rasa Sayang bergotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan di kawasan perumahan itu. FOTO AZRUL EDHAM

Sathiasilan berkata, sifat tolak ansur dan saling mengenali budaya kaum lain menjadi faktor kepada perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

"Saya sendiri memang tidak makan sebarang daging ikan atau ayam pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, namun masih bersetuju untuk mengadakan program bubur lambuk ini di rumah saya kerana sikap bertolak ansur dengan rakan bangsa lain yang mahu ia dilakukan di kediaman selain Melayu.

"Dengan ini saya juga merasai pengalaman baru kebiasaan kaum Melayu lakukan di bulan Ramadan iaitu memasak bubur lambuk yang sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada kaum lain," katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Labu, Loh Juan Geak, 37, berkata, dengan adanya aktiviti seperti itu, dia dapat mengenali jiran dengan lebih rapat terutama daripada kaum lain sekali gus memperkukuhkan perpaduan antara kaum.

"Untuk mengenali budaya sesuatu kaum itu, kita perlu ambil tahu, menyelami dan merasai sendiri budaya itu. Dari situ lahirnya kasih sayang walaupun berbeza kaum.

"Sebelum ini saya pernah merasai pengalaman menyediakan bubur lambuk di sekolah tempat saya mengajar, namun suasana hari ini lebih berbeza lebih-lebih lagi selepas sekian lama tidak berjumpa jiran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Caption: SEREMBAN 23 APRIL 2022. Program Bubur Lambuk Perpaduan anjuran KRT Taman Rasa Sayang menyaksikan tiga kaum bergotong-royong menyediakan bubur lambuk, hari ini. Foto Azrul Edham.

From: Hasbi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 4:21 PM