ELIZA didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu mendakwa diragut, pada Oktober tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ELIZA didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu mendakwa diragut, pada Oktober tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Setiap hari ada berpuluh ribu laporan diterima polis atas pelbagai kes jenayah. Bukan saja kes kamu. Kamu saja-saja buat laporan (palsu) hingga rugikan masa dan tenaga polis buat siasatan."

Itu kata Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh ketika mendenda Eliza Natina Marsh, 21, sebanyak RM1,000 selepas gadis itu mengaku bersalah membuat laporan palsu mendakwa diragut tahun lalu.

Mohamad Izwan dalam penghakimannya di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini tadi, turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu. Tertuduh membayar denda itu.

"Ingat, jika IC (Mykad) hilang atas kecuaian sendiri jangan saja-saja buat laporan polis.

"Kamu boleh bayar denda, sekarang dah ada rekod jenayah. Saya harap kamu ambil pengajaran dan faham risiko buat laporan palsu," tegas Mohamad Izwan lagi.

Mengikut pertuduhan, Eliza Natina didapati membuat laporan palsu kepada Lans Koperal Lu Zeng Kai.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada jam 4 petang, 9 Oktober 2021.

Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta, tertuduh membuat laporan kononnya dia didatangi suspek tidak dikenali yang mengambil barangan peribadinya mengandungi kad pengenalan diri di kawasan pasar malam Taman Sin, Ujong Pasir, di sini.

Siasatan polis kemudiannya mendapati laporan itu bercanggah dengan keterangan teman lelaki tertuduh yang menjelaskan Mykad gadis itu tercicir di pasar malam berkenaan dan bukan diragut.

Tertuduh dan teman lelaki gagal mencari kad pengenalan itu dan polis mendapati motif dia membuat laporan palsu bertujuan memperbaharui kad pengenalan yang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 2:49 PM